Thursday, December 6, 2007

Kenali 7 Golongan


Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidakda sebarang naungan padanya selain daripda naungan Allah: di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingtannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." 
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:

1. Pemerintah yang adil. Tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat. Sememangnya bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap
semua rakyatnya.

2. Orang muda yang sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhan. Sebaik-baik masa dan semahal-mahal
harganya dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja (muda) kerana pada usia inilah individu diuji pelbagai godaan. Dan beruntunglah orang yang berjaya melepasi rintangan itu.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid (rumah ibadat). Ada hadis menyebutkan bahawa langkahan dua kaki ke masjid bakal beroleh ganjaran besar di sisi Allah dan dikategorikan sebagai satu sedekah.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, dan apabila kedua-duanya bertemu dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hal ini merujuk kepada perhubungan sesama insan (Persahabatan) yang terjalin kerana Allah dan dalam adab serta batas kesopanan yang dibenarkan.


5. Orang yang dipujuk oleh perempuan kaya lagi rupawan untuk berzina, lalu dia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!" Inilah sebesar-besar ketakwaan kepada Allah sehingga berjaya menangkis godaan yang datang.

6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Sikap ini menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah.
7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan sepenuh hati tanpa terlalai sedikit pun. Tiada yang lain dalam ingatannya kecuali Allah dan sifat Jalal serta Jamal-Nya...
Justeru, dalam golongan manakah kita?