Friday, November 30, 2007

Makna Kebebasan


Setiap manusia dilahirkan sama sahaja tanpa dibezakan latar belakang, kekayaan, kedudukan, paras rupa, status sosial dan sebagainya. Atau dengan kata lain, tiada diskriminasi mengenai kemerdekaan yang dimiliki seseorang individu.


Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia! kamu semua sebenarnya berasal daripada Adam, dan Adam pula diciptakan daripada tanah. Tidaklah orang Arab lebih mulia daripada orang bukan Arab, tidak pula orang berkulit putih lebih baik daripada orang berkulit hitam, melainkan kerana ketawaannya." (Hadis riwayat Ahmad)


Walaupun secara zahirnya manusia dilahirkan merdeka, namun untuk mengisi makna merdeka itu, mereka harus menjadi manusia yang selari dengan fitrah, yang juga merupakan sifat asasi manusia. Ini selaras dengan hikmah penciptaan manusia seperti firman Allah yang bermaksud, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah adz-Dzariyat:56)


Menjadi manusia yang merdeka bukanlah seata-mata membebaskan diri daripada belenggu penjajahan asing. Tetapi lebih daripada itu, kemerdekaan yang hakiki ialah kebebasan manusia untuk menikmati kehidupan dengan panduan Dia selaku Pencipta Maha Agung.